Jumaat, 15 Mei 2015

Dia Hanya Minta RM1...

Petang tadi, dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu singgah sebentar di Bandar Jerteh. Selesai membayar pizza di depan Pizza Hut, datang seorang lelaki "Kak, seria kak. Nok beli air, nok make nasi" (Kak, duit seringgit. Nak beli, nak makan nasi). Saya angkat muka. Di tangan kiri ada satu bekas polisterin, di tangan kanan roti, mulutnya penuh...bercakap dengan mulut penuh. Mungkin kelaparan. Saya pandang duit di tangan, tengok not yang ada. Saya hulurkan not hijau. Dia senyum. Senyum yang lebar berseri ucapan terima kasih. Saya angguk dan mahu berlalu. Dia sapa kembali "nak nasi kak?" sambil tunjukkan bekas polisterin. "Takpolah, makelah" (Tak apa, makanlah). Saya tengok dia berjalan, menyapa abang kakak di hadapan, dia tidak minta seringgit lagi, dia pelawa nasi yang ada. Saya senyum tengok betapa cerianya dia. "Aik, tadi beria nak makan nasi, ini semua orang dia pelawa nasi dia". Alhamdulillah saya gembira melihat dia gembira. Tetapi hanya RM5 dik, mungkin hanya cukup untuk satu meal. Hanya RM5 tetapi dia gembira umpama menang loteri.
Mungkin dia lagi muda atau sebaya...dia bukan gila, cukup sifatnya cuma hidupnya tidak tentu arah. Moga Allah berikan kehidupan yang lebih baik untuk dia. Bila tengok orang sebegini, saya sentiasa berharap tiada ahli keluarga saya senasib ini.
Terima kasih Allah kerana bagi saya peluang untuk melihat senyuman begitu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan